KAHERAH: Presiden Mesir, Hosni Mubarak semalam mengarahkan pembukaan sempadan Rafah bagi membolehkan bantuan kemanusiaan dihantar ke Semenanjung Gaza, lapor agensi berita MENA. 

Arahan itu dibuat sehari selepas serangan maut komando Israel terhadap konvoi kapal bantuan ke Gaza.
“Presiden Mesir mengeluarkan arahan bagi pembukaan sempadan di Rafah bagi membolehkan bantuan kemanusiaan dan perubatan dihantar ke Semenanjung Gaza,” lapor MENA.


Menurut sumber keselamatan Mesir, sempadan itu dibuka pada jam 1.30 petang semalam. Tiada tarikh ditetapkan bagi penutupannya. 

Sempadan Rafah adalah laluan tunggal yang tidak termasuk dalam kawasan Israel. Mesir menutupnya hampir setiap masa, dan hanya membukanya bagi kes kemanusiaan dua kali seminggu. 

Satu perjanjian dipersetujui pada 2005 memberi kuasa sempadan Gaza kepada Pihak Berkuasa Palestin dan Israel, dengan negara Kesatuan Eropah sebagai pemerhati. 

Mesir dikecam kerana menutup kawasan sempadan Rafah dan membina tembok bawah tanah dalam usaha menghalang penyeludupan. 
Israel mengenakan sekatan terhadap Gaza pada 2007 selepas Hamas merampas wilayah berkenaan daripada Fatah yang disokong negara Barat. 

Kebanyakan terowong bawah tanah digunakan untuk membawa masuk ke Gaza barangan keperluan seperti makanan, peralatan rumah, bahan binaan dan haiwan ternakan, tetapi Hamas dan kumpulan bersenjata lain menggunakan terowong rahsia mereka sendiri untuk membawa masuk senjata dan wang. – AFP 


Sumber: Berita Harian