JEFFRY suka merakamkan wajah dan reaksi kanak-kanak sepanjang kembara fotografinya di banyak negara.


WANITA Jepun itu mengamati foto-foto yang terpamer di galeri pameran itu dengan penuh minat. Tidak lama kemudian dia melirik ke arah Jeffry Lim sambil melemparkan senyuman lebar dan menaikkan ibu jarinya menandakan isyarat bagus. Tiada dialog.
Jeffry, 31, yang sedang ditemu bual penulis menyambut senyumannya dengan wajah yang puas.
"Bila kita dapat membuatkan orang gembira itu adalah perasaan yang tidak boleh dibeli dengan wang," kata Jeffry, jurugambar profesional tanah air yang berpangkalan di Amerika Syarikat dan Malaysia kepada Jurnal ketika ditemui di pameran fotonya, Feel di Bangsar Shopping Center (BSC), Kuala Lumpur baru-baru ini.
"Foto, seperti juga lukisan, ialah bahasa universal. Sesiapa jua boleh memahami dan merasainya," tambah anak kelahiran Kuantan, Pahang itu yang telah memenangi lebih 20 anugerah foto.
Jeffry merupakan jurugambar bebas yang telah bekerja dengan 500 syarikat yang tersenarai dalam Forbes.
Dia juga telah bekerja dengan beberapa syarikat dokumentari yang mengeluarkan program seperti National Geographic Channel, National Geographic Traveler, Discovery Channel dan AP (Associate Press).
Dia juga terlibat dalam projek-projek buku bergambar kembara Petronas seperti Petronas Trans Himalayas, Petronas South Asia Axpedition dan Petronas Euroasia.
Mesin
Dengan tugasnya sebagai jurugambar profesional, dia telah mengembara ke 40 buah negara termasuk China, Kazakhstan, Sweden, Rusia dan Kanada.
Dia turut menjadi jurugambar bagi syarikat gas dan kenderaan di Jepun serta syarikat perubatan dan farmasi di AS.
Jeffry menimba pengalaman sebagai jurugambar selama 15 tahun dan mula mempunyai pejabat di New York pada tahun 2006.
Lelaki yang sebelum ini merupakan pemberita bergambar memberitahu, portfolio fotonya adalah merangkumi industri berat, editorial, potret dan kembara.
"Saya sebenarnya suka menceburi bidang foto yang tidak banyak diceburi oleh orang lain seperti foto dalam industri berat.
"Sebabnya saya suka tengok mesin yang besar-besar dan barangan berteknologi tinggi. Dari situ, saya tengok bagaimana ia beroperasi dan sebagainya.
"Bukan semua orang dapat tengok. Sekarang saya rasa diri saya sudah seperti ensiklopedia," katanya berjenaka.
Namun, Jeffry menyifatkan kerjanya itu mencabar dan agak berbahaya.
GEMAR bidang fotografi yang kurang diceburi ramai seperti fotografi industri berat.


"Saya pernah terjatuh dari tangga semasa sedang mengambil gambar di kilang gas di Jepun. Kamu tahulah jadi jurugambar ini, perlu bawa bebanan yang berat.
"Kamera besar, lensa-lensa yang beraneka saiz lagi. Berjalan sambil bawa bebanan yang berat kadang-kadang kita tidak mampu mengawal pergerakan.
"Bila jatuh, tulang belakang saya disahkan doktor terjejas teruk. Akibatnya saya tak boleh berdiri dan tak boleh duduk.
"Doktor nasihatkan saya berhenti kerja jurugambar tapi saya enggan. Mana boleh berhenti, itu kerja dan minat saya, saya tak boleh hidup kalau tak tangkap gambar. Itulah yang saya mahu lakukan seumur hidup.
Petronas
"Lama-kelamaan setelah melalui fisioterapi akhirnya saya kembali pulih," ujarnya.
Itu bukanlah satu-satunya saat cemas baginya sepanjang bergelar jurugambar.
Dia pernah merasakan dirinya akan mati apabila mengalami kesakitan altitud pergunungan semasa berada di ketinggian 5,486 meter dari aras laut di sebuah gunung di Kashmir.
Dia tidak boleh bernafas kerana bekalan oksigen yang dibawa dengan kereta telah habis.
Beritahu Jeffry, dia gemar mengambil gambar yang mempunyai mesej cerita, ekspresi dan emosi. Kerana baginya, itu adalah gambar yang mampu menghubungkan jiwa-jiwa manusia.
Kanak-kanak dan warga tua yang ditemui dalam kembaranya adalah golongan yang selalu tidak lepas daripada lensanya.
"Saya suka merakamkan gambar kanak-kanak sebab ekspresi mereka paling tulus dan sejati. Mereka tidak pandai berpura-pura. Emosi mereka ialah benar.
"Jika mereka suka adalah kerana mereka benar-benar suka dan jika mereka berduka, mereka benar-benar berduka.
"Dalam banyak-banyak foto yang pernah saya rakamkan juga, gambar seorang kanak-kanak Tibet adalah gambar yang paling saya suka.
"Saya juga gemar merakamkan gambar warga tua kerana sepanjang kembara, saya suka bergaul dengan mereka.
"Bagi saya, warga tua suka bercakap dan mahu teman untuk berbual. Mereka akan berasa bahagia dan cukup dihargai jika kita mendengar apa yang mereka katakan. Saya amat menghormati orang tua," katanya.
JEFFRY juga gemarkan teknik foto hitam putih untuk menyampaikan mesej secara lebih mendalam.


Kerana minatnya merakamkan gambar yang berekspresi dan penuh emosi, Jeffry berkata, selain untuk merakamkan gambar di Antartika, impiannya adalah untuk menjadi jurugambar perang.
"Saya mahu menjadi jurugambar perang, sebab saya ingin merakamkan gambar yang mampu membuatkan manusia berhenti berperang," ujarnya.
Ditanya adakah kerjayanya mampu menyara hidupnya dan mampu menjadikan dirinya kaya, Jeffry pantas menjawab: Tidak.
"Kerjaya saya sebagai jurufoto profesional bebas bergantung kepada permintaan orang. Jika tidak ada orang hendak ambil bekerja, kita perlu usaha sendiri untuk dapatkan tugasan.
"Kadang-kadang perlu melobi sendiri dengan mengirimkan contoh foto yang pernah kita ambil ke pejabat-pejabat orang," katanya yang pada awalnya pernah gigih menghantar foto rakamannya ke 200 pejabat dalam menara berkembar Petronas sebelum foto itu diambil untuk mengisi sebuah majalah Petronas.
"Tapi saya tidak kisah sangat tentang wang. Sepanjang kembara fotografi saya di merata tempat, saya berjumpa dengan macam-macam orang.
"Ia hanya membuktikan, tanpa rumah yang besar, kereta yang mewah, wang yang banyak, kebahagiaan itu masih boleh dikecapi di dunia ini," katanya yang gemar merendah diri.
Sumber: KOSMO!