Dari Kamerahidup: Baca dahulu sampai habis, baru komen .. Kalau komen anda tidak berasas, I will just delete your comments.. diskusi ilmiah.. :) 
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

"Serulah manusia kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pengajaran yang baik, dan berdebatlah dengan mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya, Tuhanmu, Dialah yang lebih mengetahui siapa yang sesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui siapa yang mendapat petunjuk"
An-Nahlu:125

Banyak persoalan timbul dari pelbagai pihak tentang apa tindakan daripada pihak Rakan Masjid terhadap penganjuran konsert Euphonius yang akan berlangsung pada 23 April 2010. Saya menerima banyak emel, malah ada juga yang menuduh Rakan Masjid (RM) tanpa asas yang kukuh.



Terima kasih diucapkan kepada semua pihak yang memberi reaksi dan saya raikan setiap pendapat yang diberikan.Saya mengambil ruang dan peluang ini untuk memberi sedikit penjelasan.

Sebelum itu, bagi saya, reaksi ‘ingin tahu’ daripada pelbagai pihak adalah satu petanda positif. Ia menunjukkan mahasiswa peka dengan apa yang terjadi disekitar mereka. Ia menunjukkan RM masih relevan pada pandangan mahasiswa kerana mahasiswa menanti-nanti apa ‘stand’ ataupun tindakan daripada RM terhadap penganjuran program Euphonius yang dilihat seolah-olah musuh tradisi RM sebelum ini.

RM sebagai sebuah badan pelajar Islam, tetap komited dengan gerak kerja dakwah amar makruf nahi mungkar. 2 elemen itu tidak dapat dipisahkan sama sekali. Misi kami adalah ke arah membina bi’ah solehah.

Perlu dijelaskan disini, RM bukanlah penghukum. Kami akan cuba menggunakan pelbagai alternatif dan metode dakwah dalam menyampaikan keindahan Islam. RM sangat menghormati dan meraikan populasi mahasiswa UTP yang pelbagai latar belakang. Malahan, kami sangat terbuka menerima teguran dan kritikan daripada semua pihak bagi memastikan gerak kerja kami diperbaiki dari semasa ke semasa.

Jika dilihat, bukan penganjuran Konsert Euphonius sahaja, malahan pada semester ini sahaja, terdapat 7 penganjuran program berbentuk hiburan yang tidak melambangkan kebudayaan intelektual dan nilai-nilai Islam. Saya agak terkilan dengan penglibatan mahasiswa Islam yang tidak kurang ramainya dalam program seumpama ini.

Ringkasnya, berkenaan dengan Konsert Euphonius, setelah melihat dari sudut pandang intelektual dan agama, ia adalah satu penganjuran program yang banyak memberi mudharat kepada mahasiswa UTP, khususnya kepada yang muslim.

Justeru itu, saya mewakili pihak RM telah mengambil inisiatif bertemu dan menyampaikan memorandum menyuarakan rasa keberatan dengan penganjuran konsert Euphonius ke-5 kepada Tuan Haji Mohamed Noor Rosli bin Baharom, Director Student Services.




Pertemuan ini dibuat pada 13 April 2010 pada jam 12.00 tengah hari dibiliknya. Memorandum ini saya lampirkan dibawah. Memorandum ini akan disampaikan kepada Tuan Rektor, Dato’ Dr Zainal Abidin bin Hj Kasim melalui Tuan Haji Mohd Noor Rosli sendiri.

Alhamdulillah, memorandum ini diterima dengan baik dan mendapat respon positif daripada Tuan Haji. Diharapkan memorandum ini mendapat perhatian yang kritikal daripada pihak pengurusan UTP.

Saya yakin dan percaya, suara seperti ini bukanlah datang daripada RM semata-mata. Sepatutnya itu yang berlaku. Bebanan dakwah bukan terletak pada RM sahaja, malah kepada setiap individu muslim. Saya agak terkilan dengan beberapa pihak yang cuba mengambil jalan tengah, berdiam diri malah lebih teruk bersuara mengkritik RM.

Selain daripada memorandum ini, RM dan beberapa orang sukarelawan daripada pelajar tahun akhir akan berusaha membuat inisiatif lain seperti Roadshow Café dan XPDC Dakwah dalam memberi kefahaman kepada orang ramai konsep sebenar hiburan dalam Islam. Kemungkinan, saya juga akan membuat sekali lagi perjumpaan dengan jawatankuasa penganjur Euphonius dan pesertanya seperti mana dibuat pada semester lepas bertemu dengan jawatankuasa penganjur Talent Search.

Sebelum akhir kalam, saya ingin menjelaskan satu lagi perkara berkenaan dengan Konsert Kembara Sufi. Ya, RM mempromosikan Konsert Kembara Sufi habis-habisan bukan bermakna melawan promosi Konsert Euphonius. Tarikh kedua-dua konsert ini berdekatan, bukan bertembung. Mahasiswa berhak memilih untuk hadir yang mana, malah memilih untuk hadirkan diri kedua-dua konsert pun boleh, tiada salahnya, itu hak anda.

Tetapi, kami di pihak RM, berharap agar mahasiswa dapat berfikir dan membuka minda perihal alternatif hiburan yang disediakan. Konsert mana yang mengikuti kriteria yang digariskan dalam Islam. Kami sangat menghormati hak semua orang yang meminati hiburan. Hiburan itu tidak salah. Di dalam Islam ia dibenarkan tetapi dengan syarat-syarat tertentu seperti dalam lampiran yang saya lampirkan juga sekali.

Sudah sampai masanya untuk kita wujudkan budaya intelektual yang kritikal di kampus. Penerapan budaya hiburan seperti ini tidak memberi nilai tambah kepada pihak universiti. RM melihat ini sebagai satu agenda tersembunyi daripada pihak tertentu untuk menyerap masuk ke kampus bagi merosakkan nilai intelektualitas mahasiswa UTP yang dilabel ‘cream of the cream’. Agenda ini dilihat selari dengan agenda pihak zionis dalam melemahkan umat Islam. Fikirkanlah.

Satu lagi, saya optimis, desakan seperti ini mampu memberi perubahan pada masa hadapan. Lihat sahaja penganjuran Konsert Jom Heboh TV3, berjaya dilaksanakan di negeri Kelantan, dengan mengikut syarat yang telah ditetapkan. Jelas di depan mata, model yang sepatutnya dicontohi oleh penganjur program hiburan di kampus ini.


KOTA BHARU, 28 Mac – Penganjur Konsert Jom Heboh yang berlangsung di Stadium Sultan Mohd Ke-IV, di sini malam tadi mengotakan janji untuk mematuhi syarat dikenakan kerajaan negeri, antaranya pengasingan tempat duduk antara penonton lelaki dan perempuan.

Selain itu hanya artis lelaki – tiada artis perempuan sebagaimana lazimnya – yang membuat persembahan pada konsert Jom Heboh pertama selepas pelancaran di Stadium Bukit Jalil hujung Februari lalu.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Media Prima, Dato’ Sri Ahmad Farid Ridzuan, pihaknya bercadang untuk menjadikan konsert Jom Heboh di Kota Bharu sebagai model bagi konsert seterusnya di negeri-negeri lain bermula di Johor Bahru selepas ini.

Sambil melahirkan rasa kagumnya di atas sambutan amat menggalakkan Ahmad Farid secara jujur mengakui Kelantan adalah negeri yang begitu berjaya bagi penganjuran program Jom Heboh selama dua hari bermula 26 hingga 27 Mac.

“Saya merakamkan ucapan terima kasih kepada Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz serta kakitangan kerajaan negeri yang begitu mesra dalam memberi kerjasama kepada kami dalam menjayakan program ini untuk kali pertama di Kelantan dan Insya-Allah ia akan diadakan pada setiap tahun di sini sekiranya mendapat kelulusan pihak kerajaan negeri,” katanya.

Menurut beliau, TV3 selaku penganjur program Jom Heboh tiada masalah untuk memenuhi syarat dikenakan kerajaan negeri mengikut Enakmen Kawalan Hiburan Kelantan 1998 termasuk pengasingan tempat duduk lelaki dan wanita serta tiada persembahan melibatkan artis wanita.

“Alhamdulillah semuanya berjalan lancar.. kita akur akan syarat dikenakan.. begitu juga Baginda Tengku Mahkota Kelantan yang berangkat pada hari pertama program (Jumaat).. Baginda sangat gembira melihat rakyat negeri ini mengambil kesempatan membawa bersama keluarga masing-masing khasnya bagi mengikuti program Al-Kulliyyah.

“Saya juga ingin memohon maaf kepada kerajaan Kelantan sekiranya selama dua hari Jom Heboh berada di Kelantan ada sedikit sebanyak kekurangan yang berlaku dan ia akan ditingkatkan pada masa akan datang.

“Saya lihat penonton begitu gembira hadir ke konsert ini walaupun mereka di bahagikan kepada tiga tempat yang dihalang dengan pagar besi di antara satu sama lain,” katanya ketika ditemui sejurus konsert berakhir malam tadi.

Dianggarkan lebih 50,000 penonton, kebanyakannya golongan muda mudi membanjiri segenap ruang Stadium Sultan Mohd Ke-IV untuk mengikuti konsert Jom Heboh yang pertama kali berlangsung di negeri ini.

Antara artis yang mengadakan persembahan malam tadi termasuk Kumpulan Raihan, Yassin (bekas anggota kumpulan nasyid Brothersa), Jamal Abdillah, Jay Jay dan artis dikir barat tersohor negeri ini, Megat Nordin.

Saya rasa sekadar itu sahaja. Wallahuallam.

Muhammad Akram bin Ismail
Presiden
Rakan Masjid 2009/2010
Universiti Teknologi Petronas

15 April 2010

Klik seterusnya untuk Lampiran 1 & Lampiran 2

Lampiran 1 : MEMORANDUM MENYUARAKAN RASA KEBERATAN TERHADAP PENGANJURAN KONSERT EUPHONIUS KE-5 DI UTP

Rakan Masjid Universiti Teknologi Petronas (RM UTP) secara rasmi menyuarakan rasa keberatan kepada tindakan pihak pengurusan UTP yang meluluskan dan membenarkan penganjuran Konsert Euphonius kali ke 5 dibawah anjuran ICC UTP. Konsert ini akan berlangsung pada 23 April 2010 di Dewan Chancellor UTP.

Rakan Masjid sangat komited dan memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak universiti dalam mencapai misi dan visinya. Segala penganjuran program Rakan Masjid adalah ke arah memperkasakan nilai tambah kepada pembangunan sahsiah pelajar dan mencapai korporat agenda universiti.

Rakan Masjid juga memberi sokongan sepenuhnya terhadap program-program anjuran persatuan dan kelab mahupun pihak universiti yang memberi nilai intelektual kepada para pelajar.

Namun demikian, amatlah rasa keberatan di pihak kami, apabila wujud juga program-program yang bagi kami tidak melambangkan kebudayaan ketimuran malah melanggar nilai-nilai Islam. Program seumpama ini bukan sahaja dilihat memberi kesan negatif kepada mahasiswa, malah tidak menyumbang kepada nilai tambah status universiti sebagai pusat intelektual dan pembelajaran. Kami juga berpendapat, sekiranya program seumpama ini diteruskan pada masa hadapan, misi untuk menjadikan UTP sebagai Research University akan terganggu.

Terlalu Banyak Hiburan Punca Peningkatan Gejala Sosial
Kes pembuangan bayi di UTP setahun yang lepas menggemparkan suasana di UTP. Siapa sangka, pusat pendidikan berprestij ini juga terlibat dengan kes seumpama ini.

Tidak perlu terkejut, malahan jika di buat analisis terperinci didapati, tahap gejala sosial di UTP makin meningkat saban hari. Ia selari dengan peningkatan gejala sosial dikalangan remaja di luar sana.
Gejala buang bayi adalah bukti yang paling nyata bahawa masyarakat kita sedang dilanda oleh masalah keruntuhan moral yang serius. Kebejatan sosial yang sedang berlaku itu menandakan bahawa masyarakat kita sedang sakit.

Sekaligus menunjukkan betapa proses pembangunan yang dilaksanakan dalam negara kita berada pada kedudukan yang tidak seimbang. Terdapat sesuatu yang tidak kena pada program pembangunan sosial negara. Begitu juga dengan sistem pendidikan yang telah gagal membendung pelbagai gejala dan kegiatan tidak sihat di kalangan pelajar-pelajar sekolah.

Hasil kajian seorang pensyarah di UKM yang mendapati hampir kesemua responden pelajar perempuan yang dikajinya di sekolah menengah di negeri Selangor pernah melakukan hubungan seks adalah asas yang paling kuat untuk menunjukkan kepincangan yang berlaku pada sistem pendidikan dan pembangunan sosial negara.
Pada tahun 2006, sebanyak 83 kes telah dicatatkan di seluruh negara berbanding 65 kes pada 2000. Sepanjang tempoh 2000 hingga 2006, sejumlah 580 pembuangan bayi telah dicatatkan dengan 48 daripadanya masih merupakan janin. Apa yang lebih membimbangkan lagi ialah pembuangan bayi turut menular di institusi pengajian tinggi (IPT).

Fakta jelas menunjukkan perkembangan gejala sosial berada pada tahap kritikal. Antara faktor yang berkaitan adalah pendedahan kepada hiburan yang melampau. Televisyen dibanjiri dengan program realiti, gosip artis, dan seumpanya sehingga hampir pupus program keilmuan. Kesannya, mahasiswa tidak lagi sensitif dengan isu semasa dan menjadikan artis sebagai idola kehidupan mereka.

Konsert Yang Hilang Nilai Agama dan Adat
Sepanjang pengamatan kami terhadap penganjuran Konset Euphonius di UTP, ia banyak memberi mudharat kepada pelajar terutamanya yang beragama Islam.
Berikut merupakan perkara yang menjadi perhatian kami:
• Pembawaan artis dari luar yang membawa budaya kehidupan artis yang liar
• Percampuran tempat duduk antara lelaki dan perempuan yang tidak terkawal
• Keadaan penonton yang bersorak tidak terkawal
• Pendedahan aurat secara terbuka termasuklah aksi erotik
• Pembawaan lagu yang tidak ada nilai
• Aktiviti luar yang dicurigai berlaku selepas sahaja selesai konsert di tengah malam
• Penganjuran di Dewan Cancelor yang merupakan simbol intelektual tertinggi pelajar dalam penerimaan anugerah konvokesyen

Hiburan Mengikut Perspektif Islam
Tiada salah dalam hiburan. Hiburan dibenarkan di dalam Islam tetapi hendaklah mengikut ketetapan yang telah digariskan. Islam melarang sama sekali hiburan yang melampau-lampau dan melanggar syariat itu sendiri. Berikut merupakan antara syarat yang digariskan dalam penganjuran program berbentuk hiburan oleh ulamak kotemporari terkenal, Dr Yusof Al-Qardhawi:
• Hendaklah hiburan tidak diiringi atau dialunkan dengan instrument bunyian terlampau seperti budaya rock sehingga penonton / pendengar mengikut rentak (melompat-lompat, menjerit dan bersorak) menjatuhkan akhlak mereka dan mendatangkan fitnah kepada diri mereka.
• Penyanyi tersebut hendaklah dari kalangan lelaki jika penontonnya adalah lelaki dan wanita manakala jika persembahan itu tertutup dan semua yang berkait dengannya adalah wanita maka dibolehkan penyanyi itu dari kalangan wanita. Ini adalah bagi mengelak segala fitnah dan punca kerosakan dari suara wanita dan pergerakan manja wanita yang menggoda.

Firman Allah SWT: “Maka janganlah kamu wahai wanita berkata-kata dengan lembut manja (semasa bercakap dengan lelaki asing) kerana yang demikian boleh menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya (menaruh tujuan buruk kepada kamu), dan sebaliknya berkatalah dengan kata-kata yang baik (sesuai dan sopan).”
 -Al Ahzab : 32-
Penerangan selanjutnya boleh dirujuk pada lampiran.

Alternatif Program Berbentuk Hiburan
Rakan Masjid bukanlah badan pelajar yang menghukum sesuatu perkara. Kami cuba sediakan alternatif kepada perkara yang kami konfrontasi.

Bukti jelas menunjukkan, program berbentuk hiburan seperti Euphonius ini bukanlah satu-satunya cara untuk mengukuhkan ikatan perpaduan kaum di UTP seperti yang disebut,

Euphonious is one of the biggest events held by the International Culture Club of UTP. This event is aimed to unite students together through music and also to unearth the hidden musical talents of aspiring engineers and information technology-savvy youths. We are scouring for young talents within UTP.

Penganjuran Interfaith Understanding Dialoge contohnya membuktikan satu bentuk penganjuran program berbentuk intelektual yang mampu mengukuhkan perpaduan kaum dan seterusnya menarik minat pelbagai latar belakang masyarakat kampus.



Konsert Kembara Sufi juga mengetengahkan konsert alterantif hiburan kepada masyarakat kampus seperti yang disebutkan di atas.

Pembudayaan program intelektual perlu diperbanyakkan di kampus, sekaligus mengurangkan program berbentuk hiburan bagi memastikan kampus UTP dipandang tinggi oleh masyakarakat sekitar sejajar dengan UTP sebagai pusat institusi pendidikan korporat.

Sensitiviti Isu Semasa
Rakan Masjid mengajak semua agar sentiasa peka dengan apa yang berlaku perihal sensitiviti umat Islam khusunya di dalam mahupun luar negara.

Suatu perkara yang cukup malang bagi kita, apabila umat Islam dunia berada dalam keadaan darurat, kita masih berpeluang berpesta hiburan disini.

Bayangkan suasana di Palestin, hari-harinya pasti berlumuran darah mempertahankan Masjid Al-Aqsa dari kekejaman zionis. Hiburan itu juga merupakan antara agenda zionis melemahkan umat Islam.
Bayangkan umat Islam di Indonesia yang hari-harinya bergantung nasib pada bencana alam, gempa bumi dan tsunami. Adakah ini semua tidak cukup untuk mengingatkan kita akan kekuasaan Allah jika kita melanggar perintahnya?

Apa tindakan dan pengajaran pada kita umat Islam terhadap isu penghinaan ke atas Nabi Muhammad saw oleh rakyat Sweden? Hitung, fikir dan bermuhasabahlah.

Bantah – Menghalalkan Konsert Ini Merupakan Satu Penghinaan
Rakan Masjid sekali lagi menegaskan rasa keberatan dengan penganjuran Konsert Euphonius ke 5 ini.
Pihak pengurusan berautoriti untuk membatalkan program ini atau tidak meluluskan lagi program ini pada masa hadapan. Pihak pengurusan juga berautoriti memastikan perjalanan konsert mengikut tatacara yang telah ditetapkan.

Rakan Masjid sebagai sebuah badan pelajar Islam di UTP, sangat sensitif dengan apa yang berlaku terutamanya perihal berkaitan dengan nilai-nilai Islam. Rakan Masjid akan terus komited dalam menjalankan amar makruf nahi mungkar di kampus ini.

Jika penganjuran konsert ini tetap diteruskan pada kali ini, Rakan Masjid menaruh harapan yang besar dan mendesak agar ia adalah penganjuran terakhir di kampus ini. Banyak lagi penganjuran program alternatif yang boleh difikirkan oleh kelab ICC dan pihak pengurusan terbabit.

Saya mewakili Rakan Masjid, yakin dan percaya, suara bantahan ini bukannya datang daripada Rakan Masjid semata-mata. Persatuan, kelab, staf sokongan, pensyarah serta orang perseorangan dari kalangan muslim mahupun non-muslim juga diseru untuk menolak konsert ini dan menyatakan bantahan mereka dengan menghantar bantahan kepada pihak terbabit.

Semoga Allah sentiasa memberi hidayah dan menunjukkan jalan yang betul kepada kita semua.

Sekian. Terima Kasih.

Muhammad Akram bin Ismail
Presiden
Rakan Masjid Universiti Teknologi Petronas
13 April 2010

Lampiran 2 : GARIS PANDUAN PENGANJURAN PROGRAM HIBURAN

Syaitan selalunya mengambil peluang dari hiburan yang melalaikan untuk menyesatkan dan melaghakan manusia. Allah SWT berfirman:

“Dan ada di antara manusia: orang yang memilih serta membelanjakan hartanya kepada cerita-cerita dan perkara-perkara hiburan yang melalaikan; yang berakibat menyesatkan (dirinya dan orang ramai) dari agama Allah dengan tidak berdasarkan sebarang pengetahuan; dan ada pula orang yang menjadikan agama Allah itu sebagai ejek-ejekan; merekalah orang-orang yang akan beroleh azab yang menghinakan.”
Al Lukman :6

Bertitik-tolak dari itulah, satu garis panduan berkenaan hiburan disusun supaya kehalusan seni hiburan yang digariskan Islam itu dapat direalitikan. Industri hiburan dan nyanyian yang harus dalam Islam adalah sesuatu yang sesuai dengan fitrah kejadian manusia, menghibur dan memberikan ketenangan kepada jiwa disamping mematuhi adab-adab Islam.

Berikut adalah panduan-panduan yang mesti diberi keutamaan:
1- Hendaklah dipastikan muzik / lagu / skrip yang tidak mempunyai perkataan yang boleh membawa ke arah bertentangan dengan aqidah seperti menyalahi syariat Allah SWT, memburuk-burukkan Rasulullah SAW, melekehkan para sahabat, meragui hari kiamat dan pembalasan dosa pahala juga tiada unsur memuja atau taksub kepada wanita.

Allah SWT memberi peringatan kepada sesiapa yang meragui kebenaran hari kiamat dengan firmannya:
“Sesungguhnya hari kiamat itu tetap akan datang – yang Aku sengaja sembunyikan masa datangnya – supaya tiap-tiap diri dibalas akan apa yang ia usahakan. Maka janganlah engkau dihalangi daripada mempercayainya oleh orang yang tidak beriman kepadanya serta ia menurut hawa nafsunya; kerana dengan itu engkau akan binasa”.
Taaha : 15-16

2- Suatu persembahan / konsert yang dijalankan hendaklah tidak berlebih-lebihan sehingga hak-hak Allah dan kewajipan yang lain terabai seperti menunaikan ibadah, hak mencari dan memberi nafkah, menuntut ilmu dan sebagainya.

“Tidaklah ada diantara orang Muslim jika tiba waktu solat wajib, lalu dia membaguskan wudhuknya, kekhusyukannya, dan ruku’nya melainkan solat itu menjadi penebus dosa-dosa sebelumnya, selagi dia tidak mengerjakan dosa besar, dan itu berlaku selamanya”.
(Hadis Riwayat Muslim)

3- Muzik atau nyanyian yang disampaikan tidak mempunyai senikata lagu berunsur maksiat dan lagho seperti membawa kepada rangsangan ghairah nafsu melalui tema-tema cinta yang melampau, luahan perasaan dan kerinduan yang berlebihan kepada manusia sehingga mendorong pendengar dan remaja kepada melakukan maksiat dan dosa.

Oleh itu nyanyian sebegini hendaklah dijauhi berdasarkan firman Allah seperti berikut:
“Dan apabila mereka mendengar perkataan yang sia-sia (lagha), mereka berpaling daripadanya.”
Al Qasas : 55

“Sesungguhnya Allah telah menentukan bahagian seseorang tentang zina yang tidak mustahil didapatinya. Maka zina mata adalah memandang, zina lidah adalah mengucapkan, zina hati adalah mengingini dan faraj (kemaluan) membenarkan atau mendustakannya.”
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

4- Hendaklah hiburan tidak diiringi atau dialunkan dengan instrument bunyian terlampau seperti budaya rock sehingga penonton / pendengar mengikut rentak (melompat-lompat, menjerit dan bersorak) menjatuhkan akhlak mereka dan mendatangkan fitnah kepada diri mereka.

5- Penyanyi, pembuat persembahan dan penonton yang hadir hendaklah menjaga auratnya, tidak melakukan gerak badan yang memberahikan ataupun mempersembahkan nyanyian dengan suara lucah yang menyebabkan fitnah dan rangsangan nafsu kotor dikalangan pendengar / penonton. Sekalipun lagu dan senikata yang disampaikan adalah baik, dalam keadaan ini ianya tetap menjadi haram.

Allah swt berfirman berkenaan tuntutan menutup aurat: “Hai anak Adam, sesungguhnya Kami telah menurunkan kepadamu pakaian untuk menutupi auratmu dan pakaian indah untuk perhiasan.”
Al A’raf : 26

Rasulullah saw juga memberi amaran kepada wanita yang tidak menutup aurat mereka:
“Sebahagian dari penghuni neraka ialah perempuan yang memakai pakaian yang menyerupai telanjang, pakaian yang sesat dan menyesatkan. Mereka tidak masuk ke syurga dan tidak mencium baunya.”
(Hadis Riwayat Muslim)

“Apabila umatku melakukan 15 perkara maka mereka layak untuk menerima bala Allah. Antara 15 perkara itu ialah…. orang ramai menjadikan wanita sebagai penyanyi (penari-penari), alat-alat yang melalaikan (muzik).”
(Hadis Riwayat Tarmidzi)

6- Hendaklah dipastikan tiada percampuran di antara lelaki dan wanita yang bukan mahram tanpa sekatan dan had hingga membawa kepada bersentuhan antara lelaki wanita ajnabi, tiada majlis tari-menari, tidak berlakunya acara minum arak, pertaruhan judi, tiada drama /lakonan-lakonan liar dan seumpamanya.

Rasulullah saw bersabda dalam hal pergaulan lelaki wanita ajnabi ini:
“Sekiranya ditikam di kepala seseorang kamu dengan sebatang besi adalah lebih baik baginya dari menyentuh kulit wanita yang tidak halal untuk disentuh.”
(Hadis Riwayat Baihaqi)

7- Penyanyi tersebut hendaklah dari kalangan lelaki jika penontonnya adalah lelaki dan wanita manakala jika persembahan itu tertutup dan semua yang berkait dengannya adalah wanita maka dibolehkan penyanyi itu dari kalangan wanita. Ini adalah bagi mengelak segala fitnah dan punca kerosakan dari suara wanita dan pergerakan manja wanita yang menggoda.

Firman Allah SWT:
“Maka janganlah kamu wahai wanita berkata-kata dengan lembut manja (semasa bercakap dengan lelaki asing) kerana yang demikian boleh menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya (menaruh tujuan buruk kepada kamu), dan sebaliknya berkatalah dengan kata-kata yang baik (sesuai dan sopan).”
Al Ahzab : 32

Dan Rasulullah SAW juga bersabda:
“Daripada Abu Malik al-Asy’ari daripada Nabi saw bersabda; Beberapa orang daripada umatku akan meminum arak dan menamakannya dengan bukan nama asalnya dan dialunkan muzik kepada mereka dan dihiburkan oleh penyanyi-penyanyi perempuan. Allah akan membenamkan mereka ke dalam perut bumi dan Allah akan menjadikan mereka kera dan babi.”
(Hadis Riwayat Ibnu Majah)

Justeru, berdasarkan huraian yang diperkukuhkan dengan dalil-dalil yang tidak boleh disangkal(melainkan terdapat pendapat lain-lain ulama’) ini, maka wajiblah setiap individu muslim itu monolak sebarang unsur hiburan yang terpesong dari landasan syariat dan seterusnya berusaha menegakkan hakikat nilai hiburan sebenar dalam Islam. Paling tidak, menyokong penuh segala aktiviti yang memberi kefahaman kepada masyarakat tentang hiburan Islam ini. Mudah-mudahan Allah menjauhkan kita dari kebobrokan hiburan sekularisme dan budaya hedonisme yang sesat lagi menyesatkan!
Semoga bermanfaat.

Sumber: Mujahid Muda